Monday 12 December 2011

ICT dalam P&P


Berdasarkan tugasan yang diberikan pada minggu pertama kelas, iaitu berkaitan integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, pada mulanya saya agak kabur dengan isi kandungan yang diperlukan bagi menyiapkan tugasan ini. Mana tidaknya, sebelum kelas lagi kami telah diberikan tugasan. Ditambah pula dengan cuti semester yang panjang, jadi memerlukan masa untuk ‘refresh’ kan semula kepala ini..Alhamdulillah saya merupakan pelajar sepenuh masa, jadi saya mempunyai masa seminggu untuk menyiapkan tugasan ini. Walaupun seminggu, disebabkan asyik menangguh kerja menyebabkan masa yang diambil untuk menyiapkan tugasan ini menjadi singkat. Tapi apa yang penting tugasan pertama berjaya disiapkan dan sudah selamat dihantar.

Melalui tugasan pertama ini, banyak yang saya pelajari. Antaranya berkaitan penggunaan ICT di sekolah. Walaupun saya bukan seorang guru, tetapi saya pernah mempunyai pengalaman selama setahun sebagai guru sandaran tidak terlatih yang mengajar matapelajaran Sains di sekolah menengah. Berdasarkan pengalaman mengajar di sekolah dulu, semasa pengajaran dan pembelajaran, saya lebih menekankan penggunaan ICT sewaktu di dalam makmal sains. Ini kerana, walaupun saya tidak berpengalaman dalam bidang pendidikan semasa awal saya mengajar dahulu, tetapi saya belajar daripada pelajar-pelajar itu sendiri. Banyak kaedah pengajaran yang saya gunakan. Selepas beberapa minggu mengajar, saya mendapati pelajar lebih tertarik dengan pengajaran yang menggunakan komputer. Mereka lebih mudah menerima apa yang disampaikan dan mengelakkan mereka daripada mengantuk di dalam kelas. Mereka juga lebih aktif bersaing sesama mereka sewaktu di dalam kelas. Untuk makluman, saya mengajar kelas yang kedua, ketiga dan terakhir. Jadi saya dapat lihat perbezaan mereka jika pengajaran yang menggunakan komputer dan pengajaran biasa. Mereka suka melihat ilustrasi gambar yang bergerak di samping memudahkan mereka memahami apa yang hendak disampaikan. Apabila disuruh mengisi jawapan di tempat kosong, mereka dapat menjawab dengan mudah dan tepat..

Daripada pengalaman saya, saya dapat simpulkan penggunaan ICT semasa pengajaran dan pembelajaran di sekolah sangat penting dan berkesan dan sesuai diamal dan dipraktikkan di semua sekolah agar taraf pendidikan di Malaysia semakin meningkat dan berkualiti bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam setiap bidang dan dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Guru-guru perlu terlebih dahulu menguasai bidang ICT ini supaya pengajaran dan pembelajaran akan jadi lebih lancar dan berkesan. Semua pihak memainkan peranan bagi memastikan penggunaan ICT ini berjalan lancar. Sekian, terima kasih.