Monday 12 December 2011

LECTURE maker


Pada minggu ini, kami didedahkan dengan pengajaran berkaitan Lecture Maker. Ini merupakan suatu lagi agen pengajaran yang sesuai diguna dan dipraktikkan di sekolah. Bayangkan kaedah pembelajaran konvensional menggunakan papan putih atau buku-buku teks mengalami transformasi dengan penggunaan komputer melalui sistem e-pembelajaran. Kaedah e-pembelajaran itu tentu bakal memudahkan lagi pelajar khususnya di sekolah kerana tidak perlu lagi memikul lambakan buku teks yang berat sehingga membebankan mereka. Senario tersebut mungkin agak ke hadapan untuk difikirkan tetapi tidak mustahil menjadi kenyataan pada satu hari nanti dengan teknologi dan perisian terkini. Kaedah e-pembelajaran yang mengetengahkan elemen seperti interaktif, multimedia, kesan bunyi dan banyak lagi dijangka mampu membuka mata serta menambah minat pelajar apabila mengikuti pembelajaran di kelas.

Lecture Maker tidak sukar untuk dikendalikan kerana kami yang sudah biasa dengan aplikasi Microsoft PowerPoint dapat menggunakannya dengan baik memandangkan antara muka perisian itu mesra pengguna. Kami boleh memasukkan teks dan grafik pada bahan pembelajaran kami dengan mudah, malah perisian itu turut dilengkapi ciri-ciri tambahan komponen multimedia termasuk merakam, menyunting video, menambah audio dan sebagainya. Dengan adanya komponen multimedia itu, pengguna terutama tenaga pengajar dapat membangunkan satu kandungan e-pembelajaran interaktif untuk pelajar-pelajar mereka. Perisian ini juga didatangkan dengan beberapa contoh templat reka bentuk bentangan untuk digunakan dalam pembangunan kandungan e-pembelajaran mengikut kreativiti pengguna. Bahan-bahan multimedia lain seperti fail Macromedia Flash, bahasa penanda hiperteks (HTML), Microsoft PowerPoint, imej dan banyak lagi juga boleh dimasukkan untuk memastikan bahan yang lebih interaktif dapat disediakan.

Bagi tenaga pengajar pula aplikasi menyunting untuk mereka grafik sesuai bagi membuat graf, formula, kotak teks, jadual, bentuk, karakter istimewa disediakan berbanding menggunakan imej sebelum ini. Tenaga pengajar boleh menggunakan multimedia, penilaian, kandungan boleh ubah dan navigasi berangkai dalam pembangunan e-pembelajaran mereka. Bahan-bahannya tidak terhad kepada teks dan grafik sahaja, malah pengguna boleh menghasilkan kandungan yang kaya dengan multimedia. Lecture Maker ini merupakan kelengkapan terbaik dan mudah digunakan untuk sesiapa yang ingin menghasilkan e-kandungan mereka sendiri. Lecture Maker bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan tenaga pengajar tetapi juga para pelajar. Mereka boleh menggunakan perisian itu bagi menunjukkan kreativiti dan kemahiran pembentangan melalui penghasilan multimedia menarik.Sekian..